SAMA seperti manusia normal yang lain, individu yang dilahirkan istimewa kerana sindrom Down sebenarnya mempunyai kelebihan yang tak terjangkau dek pemikiran.
Biarpun lahir serba kekurangan, namun ada dalam kalangan golongan istimewa itu dikurniakan dengan kelebihan yang kadangkala tiada pada individu normal lain.
Lebih mengagumkan, golongan sebegitu ada yang memecah tembok stereotaip individu istimewa apabila bekerja dalam lapangan yang sama seperti orang lain, contohnya dalam dunia glamor.
Minggu ini, Gala menyenaraikan beberapa insan istimewa popular dunia, termasuk penghidap sindrom Down yang menempa nama dengan usaha dan bakat sendiri apabila diangkat sebagai pelakon dalam drama mahupun filem.
Jack Gottsagen
MULA berlakon sejak berusia tiga tahun dalam filem pendek dan dokumentari, Zack Gottsagen kemudian menempa nama selepas memulakan debut di layar perak. Dia mencipta fenomena selepas membintangi filem The Peanut Butter Falcon (2019) di samping nama-nama besar Hollywood iaitu Shia LaBeouf, Dakota Johnson, Bruce Dern dan Thomas Haden Church. Dalam naskhah tersebut, Gottsagen membawa watak utama sebagai ahli gusti profesional dengan penyakit sindrom Down. Kemunculannya dalam filem tersebut menjadi penanda aras bahawa pelakon istimewa juga layak diberi kepercayaan memegang watak utama dalam sesebuah naskhah. “Saya mula berlakon seawal usia tiga tahun. Saya sangat menikmatinya,” ujar Gottsagen kepada The Hollywood Reporter. Tidak hanya itu, pada 2020, Gottsagen menjadi individu sindrom Down pertama yang menjadi penyampai anugerah dalam Anugerah Academy ke-92 bersama LaBeouf.
Jung Eun-hye
KEMUNCULAN pelakon Jung Eun-hye dalam drama Our Blues yang baru sahaja menamatkan siarannya baru-baru ini menuai perhatian luar biasa daripada peminat. Apa tidaknya, kehadiran si manis itu menyentuh hati penonton dek keberkesanan lakonan meskipun dilahirkan tidak sempurna. Memegang watak sebagai kembar Young-ok lakonan Han Ji-min bernama Young-hee, setiap babak melibatkan Eun-hye cukup meruntun jiwa. Ironi, ini bukan drama pertama meminjam pesona istimewa Eun-hye. Dia memulakan debut dalam dunia lakonan menerusi filem If You Were Me yang diterbitkan Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan Korea.
RJ Mitte
DILAHIRKAN pada 21 Ogos 1992, Roy Frank RJ Mitte III merupakan aktor kelahiran Amerika Syarikat (AS) yang terkenal menerusi watak Walter Flynn White Jr dalam siri Breaking Bad (2008-2013). Seperti watak yang dibawakan dalam siri tersebut iaitu lelaki yang mengalami cerebral palsy (CP), ironinya juga memiliki penyakit tersebut dalam kehidupan sebenar. Mula debut pada 2006, kekurangan dirinya dipaparkan dalam dunia lakonan demi mendidik penonton tentang penyakit tersebut. “Satu perkara yang saya belajar daripada kekurangan diri ialah jika berdepan sebarang cabaran, kita akan biasakan dan majukan diri. Kita tak boleh biarkan halangan itu menjatuhkan atau melemahkan kita,” katanya. Bersyukur dilahirkan dalam keluarga yang sentiasa menyokong dia mencari keyakinan, Mitte juga aktif dalam sukan bola sepak dan seni mempertahankan diri.
Joaquin Phoenix
LELAKI bernama Joaquin Phoenix sukar dilupakan penggemar naskhah antarabangsa. Bakat luar biasa dimiliki aktor itu cukup mendunia apatah lagi selepas mencipta fenomena global menerusi filem Joker pada 2019. Pelakon yang pernah tersenarai dalam Anugerah Academy itu juga terkenal menerusi banyak lagi filem lain antaranya Gladiator dan Walk The Line. Di sebalik pesona dimilikinya, peminat tertanya-tanya tentang kesan ‘luka’ pada bibirnya. Rupa-rupanya selama ini dia menyimpan satu rahsia tentang diri sendiri. Dia sebenarnya dilahirkan dengan Microform Celft (klef microform) atau sumbing. Parut tersebut bukan disebabkan pembedahan tetapi dia memang dilahirkan dengan kesan sumbing sederhana tersebut. Akuinya, dia pernah menyalahkan Tuhan gara-gara parut tersebut sebelum kemudian perlahan-lana menerima ketentuan.