PENYERANG Selangor Angels, Karishma S. Loganathan percaya gandingannya bersama Siti Aminah Ahmad dalam saingan Sooka Netball Super League (NSL) 2022 sudah semakin baik dan lebih menyengat.
Karishma dan Aminah dilihat memainkan peranan cukup penting bagi mengetuai jentera serangan Selangor pada musim ini selepas ketiadaan penyerang kebangsaan, An Najwa Azizan yang berhijrah ke Johor Jewels.
Walaupun dibarisi pemain muda pada kempen 2022, namun skuad kendalian Azizah Abu itu menampilkan aksi cukup baik apabila menghuni tangga ketiga liga sepusingan bagi melayakkan diri ke separuh akhir.
Justeru, Karishma berkata, dia gembira kerana gandingannya bersama Aminah mampu membantu pasukan merobek kubu pertahanan lawan dalam setiap perlawanan serta mencerahkan peluang mencatat kemenangan.
“Kombinasi saya dan Aminah masih belum berada pada tahap terbaik, namun setakat ini saya sangat gembira kerana kami berjaya membantu pasukan menerusi peranan masing-masing.
“Sudah tentu saya harap ia boleh diperbaiki dari semasa ke semasa kerana setiap perlawanan sentiasa sukar. Saya harap kami boleh memperkemaskan lagi permainan selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, Karishma juga meletakkan sasaran melangkah ke pentas final selain menjadikan Johor Jewels sebagai pasukan pilihan untuk ditentang pada perlawanan akhir nanti.
“Sasaran kami adalah mara ke final tetapi tidak tahu siapakah lawan nanti. Kalau diikutkan, saya memasang hajat untuk bertemu Johor Jewels di perlawanan akhir,” ujar Karishma.
Sebelum itu, Selangor perlu melengkapkan dua aksi terakhir liga sepusingan di Stadium Juara, Bukit Kiara terlebih dahulu menentang Pahang Tulips hari ini diikuti Johor malam esok.