PETALING JAYA – Penyanyi Farisha Iris mendedahkan dia memerlukan pertolongan bagi mengatasi masalah gangguan tidur yang dialaminya sejak seminggu lalu.
Farisha atau nama sebenarnya Farisha Asmadi, 24, berkata, masalah tersebut membuatkan dia tidak mempunyai kualiti tidur yang baik dan hanya melelapkan mata selama dua hingga tiga jam sehari.
Malah, untuk membuatkan dirinya melelapkan mata, dia perlu mengambil pil suplemen iaitu melatonin yang dikatakan boleh mengurangkan stres dan relaks.
“Saya sangat perlukan bantuan kerana sudah tidak tidur selama seminggu. Dapat tidur pun hanya dua hingga tiga jam kemudian terbangun sendiri.
“Sumpah, saya sangat penat dan mengantuk. Untuk melalui semua ini, saya cuma mengambil pil melatonin,” katanya dalam satu ciapan Twitter semalam.
Dalam pada itu, bekas peserta Big Stage musim ketiga itu memberitahu waktu tidurnya semalam masih sama seperti sebelum ini dan tiada perubahan.
“Saya masih tidak boleh tidur hari ini dan hanya dapat melelapkan mata semalam tiga jam kemudian terjaga sendiri sedangkan penat sangat.
“Saya terima banyak tip daripada pengguna Twitter, insya-Allah akan lakukan setakat yang okey,” ujarnya.
Rata-rata netizen turut berkongsi tip dan nasihat agar masalah pelantun lagu Hello itu kembali normal antaranya elakkan menggunakan sebarang gajet sebelum tidur dan lakukan senaman pada waktu siang. – KOSMO! ONLINE