PUTRAJAYA – Umat Islam di negara ini tidak perlu bimbang dengan bekalan daging ayam dan lembu menjelang perayaan Aidiladha bulan depan kerana stok dijamin masih lagi mencukupi.
Perkara tersebut disuarakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah sambil menegaskan kerajaan sentiasa prihatin dengan nasib rakyat.
“Setakat ini, saya difahamkan bekalan adalah cukup stabil namun kementerian juga akan melihat dari masa ke semasa situasi terkini menjelang akhir bulan Jun,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu beliau merasmikan Seminar Pemadanan Pekerjaan Subsektor Tanaman dianjurkan oleh Jabatan Pertanian di Wisma Tani, di sini hari ini yang turut disiarkan langsung dalam talian.
Semalam, Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) membayangkan harga ayam segar di seluruh negara akan naik mendadak selepas penamatan subsidi pada 1 Julai depan.
Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini bagi menghentikan insentif itu yang mula pada 5 Februari lepas melibatkan peruntukan RM720 juta.
Langkah berkenaan ekoran ramai daripada kalangan 2,400 pengusaha ternakan ayam tidak memanfaatkan subsidi itu dan ia akan disalurkan pula kepada golongan yang lebih memerlukan.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pihak kementerian tersebut akan membuat keputusan mengenai langkah yang berikutnya selepas pelaksanaan skim subsidi itu berakhir pada 30 Jun kelak.
“Kita akan bincang dengan pelbagai pihak berkepentingan dan keputusan akan diumumkan oleh kerajaan kerana ada beberapa hari menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha,” tambahnya.
Bagaimanapun, beliau yakin bekalan lembu hidup pada masa ini tiada sebarang masalah besar selepas pemansuhan larangan import ruminan dari Thailand yang berkuat kuasa 15 Mac lalu.
Dianggarkan sejumlah 12,000 ekor lembu akan dibawa masuk dari negara jiran berkenaan untuk tujuan disembelih khusus ibadah korban pada bulan depan di kawasan masjid dan surau.-KOSMO! ONLINE.