fbpx

Bekalan bahan api Sri Lanka hanya bertahan lima hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMANDU beratur di tepi jalan untuk membeli petrol di stesen minyak syarikat petroleum Ceylon di Colombo pada 16 Jun lalu. – AFP

COLOMBO, Sri Lanka – Bekalan bahan api Sri Lanka dijangka bertahan hanya lima hari lagi, kata Menteri Kuasa dan Tenaga, Kanchana Wijesekera pada Khamis lalu, lapor stesen penyiaran CNN semalam.

Sri Lanka masih menunggu pengesahan rasmi kerajaan India untuk meluluskan pemberian hutang baharu berjumlah AS$500 juta (RM2.2 bilion) bagi membeli bahan api seperti petrol dan diesel. 

Negara yang memiliki 22 juta penduduk itu terperangkap dalam krisis kewangan paling buruk dalam tujuh dekad selepas rizab pertukaran mata wang asingnya menyusut ke paras terendah.

Sri Lanka juga kehabisan wang untuk membayar import penting seperti makanan, ubat dan bahan api.

Kekurangan bahan api yang kronik menjadi bertambah buruk minggu ini yang menyaksikan rakyat beratur sepanjang beberapa kilometer di stesen-stesen minyak di seluruh negara.

Situasi itu membawa kepada tunjuk perasaan selepas pemilik kenderaan terpaksa menunggu semalaman untuk mendapatkan petrol dan diesel.

Kekurangan yang berlaku meliputi bahan api untuk kenderaan, industri dan perkhidmatan penting. Sebulan lalu, Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe berkata, stok petrol hanya cukup untuk sehari.

Sri Lanka tidak dapat melunaskan hutang tertunggak AS$725 juta (RM3.19 bilion) kepada pembekal selain bergelut mendapatkan hutang untuk penghantaran pada masa hadapan, kata Wijesekera.

“Kami bergelut untuk mendapatkan bekalan bahan api berikutan isu tukaran mata wang asing, manakala kerajaan sedang berusaha untuk menguruskan stok diesel dan petrol sedia ada sehingga 21 Jun ini. 

“Kami mendapati sukar untuk memenuhi permintaan dan stok boleh kehabisan lebih cepat jika kita tidak mengurangkan perjalanan tidak penting dan berhenti menyorok bahan api.

“Kami menjangkakan penghantaran petrol baharu akan dibuat tiga hari lagi dan dua penghantaran lagi dalam masa lapan hari akan datang,” katanya kepada pemberita.

Sri Lanka sedang menunggu pengesahan rasmi mengenai kredit AS$500 juta dari pada Exim Bank milik kerajaan India yang dikatakan Wijesekera akan digunakan untuk membiayai penghantaran bahan api untuk tempoh beberapa minggu akan datang. 

India yang menjadi penyokong utama Sri Lanka semasa krisis kewangan telah menyumbang kira-kira AS$3 bilion (RM13.2 bilion) bantuan termasuk kredit AS$1 bilion (RM4.4 bilion) untuk import penting. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI