KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia tersingkir daripada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia selepas tewas 21-19, 11-21, 21-23 kepada pilihan utama dari Denmark, Viktor Axelsen.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi, kedua-dua pemain menyajikan aksi cukup menarik, terutamanya pada set ketiga apabila saling berbalas serangan.
Zii Jia yang juga pemain profesional bermula langkah kanan apabila menang set pertama walaupun diberi tentangan hebat oleh pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu.
Bagaimanapun, Axelsen menampilkan aksi lebih baik pada set kedua selain menguasai sepenuhnya permainan untuk meninggalkan Zii Jia dan menang 21-11 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Pada set ketiga, perlawanan berlangsung dalam keadaan cukup menarik disertai sorakan gemuruh penonton di dalam stadium, sekali gus menambahkan tekanan buat kedua-dua pemain.
Ketika perlawanan hampir ke penghujung, Axelsen berada dalam kedudukan cukup selesa untuk menamatkan permainan apabila mendahului 20-16, namun Zii Jia berjaya mengejar dan menyamakan mata 20-20.
Axelsen yang kelihatan tertekan selepas Zii Jia menyamakan kedudukan kemudiannya memperkemaskan permainan sebelum memastikan tempat ke perlawanan akhir menerusi kemenangan 23-21.
Sementara itu, situasi sama turut menimpa beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila akur dengan kehebatan gandingan dari China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi selepas tewas 18-21, 13-21.- KOSMO! ONLINE