PETALING JAYA – Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) hari ini memaklumkan pengembangan potensi Pusat Kecemerlangan melalui TVET Collaboration Hub (TCH) dapat menggalakkan kolaborasi bersinergi bersama kerajaan dan pemain industri.
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Zainab Ahmad berkata, perkara itu akan dilaksanakan melalui pendekatan Hub dan Spoke sebagai pusat penyelarasan utama.
“Kita mencontohi negara seperti Australia, Korea dan India dengan meletakkan Hub sebagai pusat penyelarasan aktiviti TVET.
“TCH menjadikan Hub sebagai pusat rujukan dan kecemerlangan dalam bidang yang berkaitan manakala Spoke pula sebagai institusi TVET yang lebih kecil di dalam kawasan sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, pendekatan itu akan menjadikan proses kolaborasi lebih mesra industri serta selaras selain dapat memperluaskan jaringan kolaborasi antara industri.
Mengulas lanjut, penjajaran hub dipilih berdasarkan konsep penubuhan Wilayah Ekonomi Koridor yang menekankan pembangunan ekonomi diagihkan sama rata.
“Pengoperasian eko sistem kolaborasi bersinergi TCH ini diharap dapat merealisasikan Agenda Pemerkasaan TVET melalui perkongsian sumber, kepakaran dan peralatan,” ujarnya lagi. – KOSMO! ONLINE