fbpx

Showcase Amal artis legenda bantu bekas, pesakit kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN artis yang menjayakan Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 yang diadakan di Bangi Resort Hotel baru-baru ini.

BIARPUN tanpa pemuzik iringan, sebaliknya sekadar ‘minus one’ dan aksesori ekstra seperti pentas yang gah, Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 anjuran Nizam Laksamana Production tetap berlangsung dengan jayanya baru-baru ini.

Diadakan di Bangi Resort Hotel, Selangor, persembahan tersebut dihadiri seramai 500 penonton.

Walhal Konsert Endemik Search di Zepp Kuala Lumpur dan Konsert Hattan – 35 Years Journey di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur turut berlangsung pada malam yang sama.

Sambutan hangat daripada penonton membuktikan, persembahan berkenaan mempunyai pengikut tersendiri. Malah selain menghiburkan peminat, persembahan tersebut diadakan dengan objektif membantu pesakit dan bekas pesakit kanser.

Jelas Nizam Laksamana selaku penganjur, bukan mudah untuk pasukannya merealisasikan persembahan berkenaan ditambah kesukaran mendapatkan penaja selain jualan tiket yang pada mulanya bergerak perlahan.

ZARUL turut memeriahkan persembahan dengan menyampaikan lagu hitnya, Ramalanku Benar Belaka dan Bukalah Hatimu.

“Walau apapun cabaran yang datang, saya tetap perlu teruskan kerana sudah berjanji dengan pengerusi dan pengasas Cancer Survivors Malaysia, Zuraini Kamal, seorang aktivis dari Jitra, Kedah yang sering membantu pesakit kanser.

“Paling tidak disangka, berlaku keajaiban apabila jualan tiket mendapat sambutan pada saat akhir. Ada yang minta ditambah lagi beberapa meja tetapi tidak dapat dilakukan kerana tempat sudah begitu padat.

“Alhamdulillah, menjelang hari acara pelbagai pihak tampil menaja dalam pelbagai bentuk selain wang,” katanya sambil air mata bergenang.

Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 tempoh hari dimeriahkan oleh lapan penyanyi legenda tanah air iaitu Rahmad Mega, Daqmie, Bagio, Ibnor Riza, Ezad Lazim, Zarul Umbrella, Tam Spider dan Ramlah Ram.

Usaha murni

Ramlah Ram yang mendendangkan dua buah lagu iaitu Zapin Yang Tinggal dan Kau Kunci Cintaku merupakan satu-satunya penyanyi wanita yang diundang dalam showcase tersebut.

“Saya berbesar hati kerana menjadi satu-satu wanita dalam persembahan ini. Bagi saya tujuan mengadakan acara ini cukup murni.

“Selain dapat membantu pekerja seni selepas dua tahun tidak bekerja kerana virus Covid-19, penganjurannya turut membantu pesakit kanser.

“Saya sendiri berasa seronok dapat bertemu peminat kerana sudah lama tidak mengadakan persembahan secara langsung dengan penonton begitu ramai,” kongsi Ramlah Ram.

TAM Spider (tengah) menggamit peminat dengan untaian lagu popularnya, Kasih Latifah dan Relaku Pujuk.

Dalam pada itu, Nizam turut merakamkan penghargaan buat sahabat baiknya Allahyarham GMie Screen yang pernah terbabit dengan dua persembahan sebelum ini.

Selain itu, bekas pengurus kumpulan Slam, Johan Aziz turut diundang naik ke pentas untuk berkongsi pengalamannya sebagai pesakit kanser.

Rata-rata penonton yang hadir berpuas hati kerana selain dapat bertemu dengan penyanyi kesayangan, mereka juga dapat ‘berkaraoke’ secara langsung memandangkan seleksi lagu yang dipilih cukup malar segar.

Antara lagu yang dipersembahkan adalah Gugurnya Bunga Cinta dan Mendung Tak Bererti Hujan (Nizam Laksamana), Takdir dan Waktu serta Bayangan Gurauan (Rahmad Mega), Liya Juwita dan Tangis Sebatang Tamar (Daqmie) serta Umpama Mimpi Dalam Mimpi dan Sufi (Bagio).

Tidak ketinggalan, lagu Mimpi Yang Tak Sudah dan Berdiri Seorang Perindu (Ibnor Riza), Jesnita dan Mengintai Dari Tirai Kamar (Ezad Lazim), Bukalah Hatimu dan Ramalanku Benar Belaka (Zarul Umbrella) termasuk Kasih Latifah, Jangan Kau Berputus Asa dan Relaku Pujuk daripada Tam Spider.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI