TERPUKAU. Itu perkataan pertama yang terbit di bibir penulis tatkala menyaksikan introduksi persembahan konsert Search Rockin’ On Rooftop malam Sabtu lalu.
Bukan sahaja penulis, perasaan sama dikongsi ribuan peminat Search yang hadir. Masing-masing tidak kehampaan dan pulang dengan kepuasan yang sudah lama dinanti-nantikan.
Meskipun tirai pentas dibuka lewat sejam dari waktu dijadualkan dek hujan lebat, namun semangat yang ditunjukkan hampir 4,000 peminat kumpulan legenda tersebut wajib dipuji.
Biarlah ribut melanda, mereka jelas tidak berganjak. Itulah simbolik semangat peminat terhadap idola kesayangan yang sudah lama dirindukan.
Biarpun dihimpit dengan isu dalaman yang membuatkan kumpulan fenomena itu berpisah menjadi dua puak, sekali gus menyaksikan pengunduran Amy dua tahun lalu, percaturan Search yang mempertaruhkan vokalis dari tanah seberang, Denden Gonjalez cukup bertepatan.
Mungkin bagi yang janggal dengan nama itu, Denden mula membuka mata seluruh dunia apabila persembahannya mendendangkan lagu kumpulan Steelheart berjudul She’s Gone tular dalam media sosial.
Bayangkan jika lagu tersebut yang diketahui sukar dibawakan mana-mana penyanyi, tapi Denden sambil duduk bersila dengan tangan memegang sebatang rokok keretek, selamba ‘tarik’ dan ‘makan habis’ naskhah berkenaan selumat-lumatnya.
Perkara yang sama jugalah dipersembahkan anak jantan kelahiran Bandung, Indonesia itu pada konsert yang berlangsung di ruang letak kereta terbuka pusat beli-belah ikonik, Campbell di ibu negara.
Vokal memukau, energetik
Membuka persembahan menerusi lagu pertama berjudul Bencana yang dipetik daripada album, Rampage (1992), vokal Denden seharusnya sekali lagi dipuji.
Vokal emasnya yang bernada tinggi tanpa terkucil dikawal rapi bertenaga lagu demi lagu di samping kesepaduan Kid dan Din selaku gitaris, Yan (bass), Min (dram) dan Firdaus (keyboard) sampailah ke penghujung konsert yang memuatkan 17 buah lagu kesemuanya.
Kid dan Din selaku jentera kuat Search turut memukau khalayak yang sudah lama dahagakan kebersamaan adik-beradik yang digelar King of Rhythm dan King of Tremolo ini.
Pujian dan tepukan untuk Denden atas kemunculan di depan yang rata-ratanya semua pencinta Search, seperti dirinya. Mudah kata, untuk pentas perdana itu, Denden sudah lulus dan layak mendapat markah A+.
Denden ketika ditemui usai konsert selama dua jam itu berlangsung memanjat kesyukuran dan gembira dapat menjayakan konsert berskala besar tersebut dengan jayanya.
“Jujur pada awalnya memang rasa gementar untuk menyanyi di hadapan peminat Search. Namun, selepas beberapa detik, semuanya jadi okey.
“Saya lihat banyak yang memberi sokongan dan kata-kata semangat. Terima kasih untuk semuanya kerana terus menyokong kami. Saya akan ingat malam ini (konsert) sampai bila-bila,” katanya.
Teruskan legasi
Bertentang dua mata bersama Kid, pemilik nama sebenar Hamzah Mohd. Taib itu berkata, kehadiran Denden perlu dipuji meskipun kali pertama beraksi pada konsert mega bersama mereka.
“Kami berpeluang bersama dalam waktu yang agak singkat. Namun, kami gandakan usaha dan latihan. Akhirnya, kami dapat hasil yang baik pada malam ini (malam konsert).
“Denden beri sepenuh tenaga yang dimiliki demi meneruskan legasi Search. Siapa pun dia tidak penting, tapi semangat yang mengalir dalam jiwanya itu kita mahukan,” katanya.
Kata Kid, ucapan terima kasih dan penghargaan juga perlu diberikan kepada abangnya, Din selaku tunjang utama dalam kejayaan konsert tersebut.
Ujarnya, Din ialah individu yang banyak memberi semangat kepada ahli kumpulan lain untuk meneruskan perjuangan selama empat dekad ini.
“Pujian harus diberi kepada Din juga. Kita tahu apa yang berlaku sebelum ini. Din jadi tunjang utama masa konsert.
“Melihat kepada sokongan yang diterima malam ini, secara tidak langsung beri Search semangat untuk terus berjuang dan kekalkan legasi.
“Terima kasih kepada peminat yang hadir dan memberikan sokongan kepada konsert ini,” katanya.