fbpx

PM arah kaji semula 147 undang-undang lapuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri hadir ke Majlis Perasmian Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri diarahkan supaya mengkaji dan meneliti undang-undang sedia ada termasuk 147 undang-undang yang telah lapuk.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, transformasi itu perlu dilakukan segera kerana keadaan telah berubah dan undang-undang juga perlu bergerak dan berubah mengikut keadaan semasa.

“Sebagai contoh, teknologi digital hari ini semakin pesat membangun. Dalam konteks ini, undang-undang yang sedia ada tidak relevan dengan ledakan teknologi digital.

“Bahkan agak terkebelakang dengan perubahan semasa,” katanya ketika merasmikan Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, walaupun Malaysia masih negara Common Law, namun prinsip, doktrin, pemakaian dan pelaksanaan undang-undang telah dibuat berdasarkan semangat Malaysia sebagai sebuah negara merdeka.

Justeru, katanya, Malaysia berterima kasih kepada pelopor-pelopor pendidikan undang-undang yang telah berusaha dan menyumbang kepada pendidikan undang-undang serta perkembangan perundangan di negara ini.

Terdahulu, Ismail Sabri memaklumkan, beliau merupakan salah seorang mahasiswa undang-undang daripada kohort kesembilan yang menjejak kaki ke UM pada tahun 1980.

“Ini adalah satu kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Saya dapat lihat rakan-rakan seangkatan saya turut hadir pada petang ini. Pengalaman menjadi sebahagian daripada fakulti ini merupakan detik manis buat kita semua,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI