PETALING JAYA – Persiapan menyambut ulang tahun kelahiran bertukar tragedi selepas seorang remaja berusia 16 tahun maut dalam kemalangan ketika membeli kek hari lahirnya sendiri.
Lebih menyedihkan apabila ibu remaja berkenaan yang sibuk menyediakan juadah di rumah dikejutkan dengan kepulangan jenazah anaknya.
Suasana bertukar pilu selepas video berdurasi 12 saat dimuat naik Pertubuhan Kebajikan Amal Jalanan(PKAJ) memaparkan tangisan ibu remaja berkenaan yang tidak menyangka anaknya menemui ajal pada hari lahirnya.
Difahamkan, kejadian berlaku pada Rabu lalu ketika remaja berkenaan keluar membeli kek hari lahirnya untuk disambut bersama keluarga sebelum terbabit kemalangan maut di sekitar Pudu.
PKAJ dalam hantaran di Facebook berkata, pihaknya diminta untuk menguruskan jenazah remaja berkenaan sebelum di bawa ke Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Sinar, Segambut bagi urusan pengebumian.
“Alhamdulilah, segalanya Allah permudahkan dari awal hingga akhir. Maafkan kami andai ada terkasar bahasa yang sedar atau tidak terlebih terkurang sewaktu pengurusan dijalankan.
“Bersamalah kita sedekahkan al-Fatihah ke atas arwah,” jelasnya.
Rata-rata pengguna media sosial turut bersedih dengan kejadian yang menimpa remaja berkenaan dan memberi kata-kata semangat kepada keluarga arwah. – KOSMO! ONLINE