MANCHESTER – Penyerang Manchester United, Marcus Rashford percaya corak permainan pasukan itu akan berbeza berbanding sebelum ini di bawah kendalian pengurus baharu, Erik ten Hag.
Pemain antarabangsa England itu kini sedang melakukan persiapan sebelum mengikuti latihan pramusim bagi kempen 2022/23 serta jelajah ke Thailand, Australia dan Norway.
Dia mengakui sudah tidak sabar untuk kembali ke padang latihan dan merasai sendiri pengalaman beraksi di bawah bekas jurulatih Ajax itu yang sedia mengembalikan era kegemilangan United.
“Pada awal pramusim, semua pemain perlu mencapai stamina terbaik. Sebagai seorang pemain, saya mahu pastikan keadaan fizikal sentiasa bersedia untuk hadapi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Apabila sesebuah pasukan cuba mengubah falsafah bola sepak, semua pemain perlu bersedia untuk menyesuaikan diri. Mungkin ia perlukan masa tetapi saya fikir kami tidak ada masalah melakukannya,” kata Rashford.
Dalam pada itu, dia juga teruja untuk kembali melakukan jelajah pramusim memandangkan sebelum ini tidak dapat melakukannya gara-gara pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
“Sudah lama kami tidak melakukan jelajah pramusim disebabkan Covid-19, jadi saya sangat teruja dan gembira. Ini adalah peluang untuk semua pemain tunjukkan kemampuan diri kepada pengurus,” ujarnya. – AGENSI