SABAK BERNAM – Kegiatan haram lapan lelaki Myanmar menangkap ikan dengan menggunakan bot nelayan tempatan tumpas apabila dicekup pihak berkuasa kira-kira 11.6 batu nautika barat laut Sekinchan di sini, semalam.
Kesemua tekong dan kru berusia 29 hingga 42 tahun itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika menaiki dua bot nelayan kelas B1, pukul 12.10 tengah hari.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, penahanan itu dilakukan pihaknya menerusi rondaan Op Ehsan yang mengesan aktiviti perikanan mencurigakan di bot tersebut.
“Pemeriksaan mendapati kedua-dua bot itu dikendalikan lapan kru warga Myanmar termasuk tekong. Bot itu melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen dan dokumen pengenalan diri kru turut meragukan.
“APMM turut merampas hasil tangkapan pelbagai jenis ikan seberat 200 kilogram (kg),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Siva Kumar, siasatan awal mengesyaki pemilik bot tempatan melanggar syarat sah lesen dengan menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE