INI berita baik buat semua peminat bintang K-pop, apabila pelakon dan juga penyanyi Kim Jae-joong mengesahkan jadual kehadirannya ke Malaysia untuk sesi bertemu peminat.
Jae-joong dikatakan bakal memulakan konsert jelajah Asia pada September depan dan Malaysia dipilih sebagai negara pertama.
Terdahulu, Jae-joong yang mulanya dijadualkan singgah ke Malaysia pada Mac 2020 terpaksa membatalkan hasrat tersebut akibat penularan Covid-19.
Bintang K-pop berusia 36 tahun itu juga difahamkan akan meneruskan jelajah ke Bangkok, Thailand sejurus selesai di Malaysia.
Sebelum ini, Jae-joong agak lama menyepi, namun baru sahaja memulakan penggambaran sebuah drama.
Konsert jelajah Asia Kim Jae-joong di Malaysia bakal berlangsung pada 23 September depan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.