HULU SELANGOR – Seramai enam orang cedera ringan di dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Alphard milik ahli parlimen Bukit Jelutong di KM 425.3 Lebuh raya Utara-Selatan (arah selatan) hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, kemalangan berlaku pada pukul 8.55 pagi berpunca dari sebuah objek besar yang berada di lorong kanan telah menyebabkan sebuah kenderaan jenis Ford berhenti dengan tiba-tiba.
“Sewaktu kereta Ford ingin mengubah haluan ke lorong tengah, MPV milik Ahli Parlimen Bukit Jelutong itu telah datang dari belakang dan cuba mengelak objek itu lalu melanggar bahagian belakang kereta Ford di lorong tengah.
Tambahnya, enam penumpang yang berada di dalam kereta Alphard mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.
Pihak polis juga meminta orang ramai yang mempunyai apa-apa maklumat mengenai kemalangan itu untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya pihak polis dapat mengambil tindakan selanjutnya.
Kes disiasat di bawah Kaedah 10 LN 166/59 iaitu cuai memandu hingga menyebabkan kemalangan.- KOSMO ONLINE!