fbpx

JKKP siasat kes jurutera maut jatuh bumbung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kejadian di bumbung kilang itu.

KLANG – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menyiasat kes seorang jurutera yang maut selepas terjatuh di sebuah kilang pembuatan logam di Kampung Jawa di sini, kelmarin.

Kejadian pukul 11 pagi itu berlaku ketika  lelaki berusia 23 tahun berkenaan sedang melakukan tinjauan bumbung di kilang tersebut.

JKKP menerusi kenyataan berkata, jurutera syarikat kontraktor projek pemasangan sistem solar itu bersama rakannya menaiki bumbung lutsinar untuk melakukan tinjauan berkenaan.

“Ketika kejadian, mangsa bagaimanapun didapati terjatuh dari bumbung setinggi 20 meter.

“Mangsa kemudian diberikan bantuan kecemasan namun gagal dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, JKKP Selangor mengarahkan sepasukan pegawai untuk menjalankan siasatan menyeluruh kejadian tersebut.

“Kita mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu dan notis larangan atas kegagalan majikan mengadakan sistem kerja selamat untuk bekerja di tempat tinggi.

“Selain itu, Notis Pembaikan dikeluarkan kerana kegagalan majikan mengawal pergerakan keluar masuk pelawat dan tidak mengeluarkan permit untuk melakukan kerja tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, siasatan lanjut akan dijalankan pihaknya bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian berkenaan.

“JKKP akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab jika didapati wujud pelanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab dalam mengenal pasti bahaya, membuat penilaian dan kawalan risiko yang berkesan,” katanya.

Tambahnya, kejadian seumpama itu boleh dielak jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko komprehensif mengikut Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI