TIDAK dinafikan setiap individu pernah berhadapan dengan rasa sakit atau kesukaran untuk membuang air kecil serta kencing tidak lawas.
Lebih teruk, ada antara mereka yang mengeluarkan urin mengandungi darah.
Biarpun begitu, ada yang mengabaikan situasi tersebut dan tidak mendapatkan rawatan bersesuaian kerana beranggapan masalah itu normal.
Sebaliknya, tanpa disedari, mereka sebenarnya berhadapan dengan masalah kencing kotor.
Penyakit kencing kotor merupakan jangkitan kuman yang berlaku pada sistem urinari, iaitu sistem organ dalam tubuh yang berfungsi untuk menapis darah daripada bahan toksik bagi menghasilkan bahan kumuh iaitu air kencing.
Sistem ini meliputi buah pinggang salur ureter, pundi kencing dan salur uretra yang mana jangkitan kebiasaannya boleh berlaku dalam mana-mana organ tersebut.
Menurut Pakar Perundingan Sakit Puan di Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr. Patricia Lim Su-Lyn, kebiasaannya, penyakit itu berlaku pada bahagian pundi kencing sahaja dan akan menjadi serius apabila jangkitan memasuki kawasan buah pinggang.
Katanya, semua individu berisiko untuk dijangkiti penyakit ini, tetapi golongan wanita terutamanya wanita hamil lebih berisiko.
“Ini kerana, anatomi saluran kencing dan anus (dubur) yang dekat dan kontaminasi boleh berlaku sewaktu seorang wanita ke tandas.
“Selain itu, orang yang mempunyai lemah ketahanan imunisasi seperti kencing manis atau pesakit kanser juga berisiko tinggi dijangkiti.
“Tabiat seorang yang kurang meminum air dan suka tahan kencing juga mempunyai risiko tinggi untuk menghidap penyakit ini,” katanya.
Punca penyakit itu disebabkan jangkitan kuman. Biasanya bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan adalah E.coli, S. saprophyticus, klebsiella, proteus, enterobacter dan pseudomonas.
Antara simptom awal penyakit ini ialah sakit atau pedih ketika kencing, kerap kencing dan perasaan tidak puas kencing selepas membuang air kecil atau kencing berdarah.
Tanda-tanda lain yang turut menyebabkan penyakit tersebut ialah demam, mual, muntah dan sakit pinggang.
“Jangkitan juga boleh merebak ke sistem urinari lain seperti buah pinggang sehingga menyebabkan sepsis iaitu satu jangkitan kuman serius.
“Sebenarnya, seseorang yang sering menghadapi masalah kencing kotor perlu diperiksa untuk mengenal pasti adakah ia berkaitan dengan batu karang.
“Ini kerana, penyakit itu juga boleh menjadi punca kuman dan penyebab jangkitan kencing kotor.
“Apa-apa pun, untuk mendapatkan rawatan dan mendiagnosis penyakit tersebut, individu disarankan berjumpa doktor bagi tujuan pengesahan dan pemberian ubat yang betul untuk rawatan,” ujarnya.
Biarpun masalah itu mungkin tampak ringan, namun masalah penyakit kencing kotor ternyata tidak boleh dipandang mudah, lebih-lebih lagi dalam kalangan wanita hamil.
Hal ini kerana menurut Dr. Patricia, seseorang yang sering menghidap penyakit itu boleh mengalami stricture atau parut pada saluran kencing.
Bahkan ibu mengandung yang sering berhadapan dengan masalah kencing kotor juga boleh menyebabkan kelahiran pramatang.
Pun begitu, penyakit yang biasa berlaku itu sebenarnya boleh dicegah dengan mengamalkan beberapa langkah penjagaan kesihatan sistem tubuh, selain menjaga kebersihan diri terutamanya di bahagian kemaluan.
“Aspek pemakanan tidak mempengaruhi masalah ini, namun kekurangan mengambil air sekurang-kurangnya 2 liter sehari boleh menjadi salah satu risiko masalah tersebut.
“Nasihat saya, bagi mengelakkan masalah ini berlaku dalam diri individu, mereka perlu mengamalkan cara hidup sihat dan menjaga kebersihan diri yang optimumum, selain mengamalkan pengambilan air sekurang-kurangnya 2 liter sehari.
“Bukan itu sahaja, mereka juga perlu mengelakkan tabiat suka menahan kencing,” ujarnya.