PETALING JAYA – Pelaksanaan Malaysia Techlympics 2022 yang merupakan salah satu program terbesar di Malaysia dilihat mampu untuk merangsangkan kesedaran serta membudayakan minat belia terhadap penciptaan idea dalam bidang Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI).
Program tersebut merupakan inisiatif pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) yang diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Berlangsung dari Mac hingga November ini, Malaysia Techlympics 2022 bakal menarik minat sehingga satu juta pelajar dan belia yang berusia tujuh hingga 30 tahun.
25 pertandingan yang berdasarkan pernyataan masalah dan isu semasa yang dihadapi oleh rakyat Malaysia telah diatur, untuk menghasilkan 2,000 idea yang berpotensi untuk dikomersialkan.
Ini termasuk idea untuk mencapai penyelesaian pemulihan pasca Covid-19, alam persekitaran dan perubahan iklim, kesihatan dan kesejahteraan.
Perkara besar seterusnya adalah pekerjaan, ketersambungan dan mobiliti, sekuriti dan kelestarian makanan, teknologi dan inovasi.
Sehingga kini, program yang diterajui MOSTI dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu telah menerima pendaftaran lebih daripada 390,000 orang.
Pelbagai aktiviti pembelajaran termasuk sesi bengkel, webinar, kuiz akan di jalankan secara online di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan dalam usaha melahirkan generasi ‘innovator’ dan ‘changemaker’ masa hadapan yang berfikiran jauh ke hadapan.
Melalui acara berkenaan, ia dapat menyemai minat pelajar dan belia secara pembelajaran tidak formal bagi memupuk budaya STI dari peringkat awal dan menggalakkan pemikiran kreatif serta menanamkan kemahiran penciptaan dan keusahawanan dalam kalangan pelajar.
Program ini adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan bilangan pelajar yang mengambil aliran STEM sama ada di peringkat sekolah, universiti atau bidang pekerjaan serta mewujudkan masyarakat pencipta atau pencetus teknologi, bukan sebagai pengguna teknologi.
STI mengutarakan kaedah penting dalam membangunkan bakat berkemahiran tinggi demi menyokong pertumbuhan ekonomi berteknologi tinggi dalam membentuk kemahiran berfikir aras tinggi demi menghasilkan generasi masa hadapan yang terdiri daripada penyelesai masalah dan pencipta solusi.
Program Malaysia Techlympics 2022 selaras dengan hasrat MOSTI untuk merakyatkan sains, menginsankan teknologi dan menyediakan satu platform bagi pendekatan STEM bersepadu, bagi memastikan konsep sains boleh dikaitkan dengan kehidupan seharian.
Melalui program ini, para pelajar daripada peringkat awal lagi boleh meningkatkan kerja praktikal sains serta membina keyakinan mereka terhadap sains.
Selain itu, program tersebut akan memberi ilmu dan pengetahuan tambah nilai kepada pelajar dan belia selain dari ilmu pembelajaran formal.
Dalam pada itu, Malaysia Techlympics menawarkan wang tunai dan hadiah-hadiah bernilai sehingga RM500,000 untuk dimenangi.
Melalui program itu, pelajar dan belia akan didedahkan kepada kaedah berasaskan inkuiri dan projek dalam bidang Sains, Kejuruteraan, Pengkomputeran dan Pengkomputeran Mikro, Internet Kebendaan (IoT), Robotik, Dron, Matematik, Reka Bentuk Kreatif dan Animasi serta Pencetakan dan Pembangunan 3D.
Kebanyakan sesi diajar oleh golongan profesional, pengamal dan ahli akademik kerana Malaysia Techlympics memupuk budaya pembelajaran melangkaui bilik darjah.
Malaysia Techlympics dijangka menghasilkan idea yang berpotensi untuk dikomersialkan dengan menggunakan kemudahan ruang reka bentuk.
Persatuan Guru STEM peringkat negeri juga telah berikrar untuk menyokong acara Malaysia Techlympics ini dengan menyertai pelbagai aktiviti dan mempromosikan pendidikan STI tidak formal kepada para pelajar mereka.
Hal ini kerana mereka memiliki pengalaman yang luas dengan menerima pelbagai anugerah selain Ikon STEM yang turut berkongsi pengetahuan dan maklumat dalam kerja-kerja rekaan, kejuruteraan serta membina roket.
Turut memberi sokongan adalah rakan korporat, agensi kerajaan dan komuniti.
Selain itu, program tersebut telah direka untuk menjadi lebih inklusif dan informal supaya ia dapat menjangkau kumpulan-kumpulan yang kurang mendapat perhatian dengan menggunakan pendekatan yang tidak formal untuk mencapai hasil yang dirancang.
Pelbagai sesi yang amat menarik telah disusun bagi menyemarakkan minat kanak-kanak, remaja dan belia terhadap bidang sains dan teknologi dengan lebih meluas.
Ini termasuk 25 pertandingan di bawah 5 kategori utama yang tertumpu kepada bidang-bidang yang membabitkan kejuruteraan, pengkomputeran dan mikro-komputer, nano, internet kebendaan (IoT), robotik, dron, sains, matematik, reka bentuk kreatif dan animasi serta percetakan dan pembangunan tiga dimensi (3D).
Penyertaan adalah secara berkumpulan dan setiap pertandingan yang disusun berdasarkan ‘Penyelesaian Masalah’ yang mana setiap peserta menjana idea inovasi berdasarkan tema yang telah ditetapkan.
Kini, lebih daripada 3,000 guru telah menyertai sesi taklimat Techlympics, manakala ibu bapa dan penggemar juga dijemput mengambil bahagian dalam aktiviti yang berkenaan bermula dari sekarang hingga November.
Rakan usaha sama, para pelajar dan belia dijemput menyertai Malaysia Techlympics dengan mendaftar melalui laman web www.techlympics.my.
Tarikh tutup pendaftaran program tersebut adalah pada 30 Jun 2022.