HULU SELANGOR – Dua remaja cedera parah pada kepala dan kaki selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Taman Kesumba, Bukit Sentosa kelmarin.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Arsad Kamaruddin berkata, kemalangan tersebut berlaku pada pukul 6.30 petang melibatkan satu motosikal dan sebuah lori.
“Kemalangan itu berlaku semasa dua orang remaja yang ingin membuat pusingan di simpang tiga lalu dilanggar dari belakang oleh sebuah lori.
“Saringan awal air kencing mendapati pemandu lori positif Methamphetamine dan dikehendaki pihak polis,” katanya.
Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis juga meminta orang ramai yang mempunyai apa-apa maklumat mengenai kemalangan ini untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya pihak polis dapat mengambil tindakan selanjutnya.- KOSMO! ONLINE