fbpx

Buntu lunas bil hospital RM300,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Azizan menunjukkan bil hospital di Singapura yang dihantar menerusi pos kepada Pengerusi Kelab Kebajikan Anak Jati Muar, Tarmizi Yahya ketika ditemui di Muar semalam.

MUAR – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) buntu apabila menanggung bil rawatan perubatan di sebuah hospital di Singapura berjumlah RM283,124.

Mohamad Azizan Amidin, 32, berkata, dia yang bekerja di republik itu sejak lima tahun lalu terpaksa mendapatkan rawatan di hospital di sana ekoran pe­nyakit diabetes yang dihidapinya kian merosot.

Menurut lelaki itu, dia membuat keputusan berhenti kerja sebagai pembantu restoran makanan segera dan nekad pulang ke Johor selepas melihat luka di kaki kiri semakin teruk.

“Pada awal tahun ini, saya menyedari tapak kaki kiri kelihatan melepuh dan ada beberapa gelembung kecil, jadi saya buang cecair tersebut.

“Namun hari demi hari, saya lihat luka semakin teruk. Jadi saya membuat keputusan untuk pulang ke Johor bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Redan, Pagoh di sini semalam.

Mohamad Azizan membe­ritahu, pada 23 Januari lalu, ketika dia sedang membuat persiapan untuk pulang ke tanah air, dia berkunjung ke sebuah klinik di Singapura untuk membeli ubat tahan sakit sebagai persediaan untuk menjalani kuarantin.

Walau bagaimanapun, Mohamad Azizan pengsan ketika berada di klinik lalu rakan-rakan menghantarnya ke hospital di Singapura ekoran pintu sempadan masih ditutup.

“Semasa dirawat selama 19 hari di hospital, saya menjalani tiga kali pembedahan memotong kaki kiri kerana kuman sudah merebak.

“Saya me­rayu kepada hospital untuk pulang kerana bil rawatan pasti meningkat, namun tidak diizinkan kerana bimbang terdedah kuman,” katanya.

Tambahnya, hampir setiap hari dia mengadu kepada ibunya, Aminah Ibrahim, 58, kerana mahu pulang sebelum dipertemukan dengan seorang wanita yang aktif melakukan kerja amal.

Lelaki itu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada Februari lalu.

“Saya terpaksa menjalani dua lagi pembedahan kerana menurut pakar, kaki saya yang dipotong sebelum ini masih berisiko mendapat jangkitan,” katanya.

Dia buntu untuk menjelaskan bil rawatan di Singapura kerana ibunya tidak bekerja, manakala bapanya, Amidin Kadizan be­kerja sebagai pembantu kedai makan.

Mohamad Azizan juga masih menunggu kelulusan permohonan elaun daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Public Bank bernombor 686-777-2010 atas nama Mohamad Azizan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI