KUALA LUMPUR – Remaja sindrom down yang dikenali sebagai Bella hadir ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi prosiding pengecaman.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, selain Bella, lima lagi saksi kanak-kanak dijadual hadir ke mahkamah hari ini bagi prosiding yang sama.
Turut hadir, tiga lagi saksi iaitu saksi pendakwaan Zurianty Sudin, Pegawai Penyelidik Undang-Undang, Suhana Zam, dan Yasmin Nahar Mahmood,19.
Bella tiba di Mahkamah Sesyen di sini kira-kira pukul 9.40 pagi tadi.
Sebelum ini, Bella telah dua kali gagal hadir ke mahkamah ke mahkamah bagi prosiding pengecaman termasuk 30 Mei kerana demam.
Begitu juga pada Isnin lalu, kanak-kanak itu juga tidak hadir ke mahkamah.
Tindakan tersebut menyebabkan peguam pemerhati yang mewakili Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu mendapatkan penjelasan lanjut berhubung beberapa perkara yang dilihat ‘tidak harmoni’ dalam perbicaraan kes remaja sindrom down itu.
Semalam Hakim Izralizam Sanusi menasihatkan pihak pendakwaan dan pembelaan agar bekerjasama dalam berkongsi maklumat berkaitan kes termasuk penyelarasan saksi.
Untuk prosiding hari ini, Suhana dijadual menyambung sesi pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan selepas sesi perbicaraan tamat kira-kira pukul 3.30 petang semalam selepas mengadu tidak sihat kepada hakim.
Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE