RIYADH – Pihak berkuasa Arab Saudi merampas mainan dan pakaian berwarna pelangi dari kedai-kedai di ibu negara berkenaan, Riyadh sebagai sebahagian langkah untuk membanteras homosekualiti, lapor akhbar The Guardian kelmarin.
Simbol pelangi dan warnanya digunakan untuk mewakili golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender(LGBT).
Meskipun sektor pelancongan Arab Saudi semakin terbuka sejak 2019, Riyadh masih mengekalkan beberapa peraturan lama termasuk mengharamkan amalan homoseksual yang merupakan kesalahan di sisi undang-undang.
Barangan yang disasarkan dalam serbuan di Riyadh itu termasuk busur, skirt, topi dan bekas pensel dengan kebanyakannya dihasilkan untuk kanak-kanak, demikian menurut saluran berita kerajaan, Al Ekhbariya.
“Kami mengadakan lawatan untuk mengesan barang-barang ercanggah dengan akidah Islam dan mempromosikan warna homoseksual untuk menyasarkan generasi muda.
“Bendera homoseksual terdapat di salah satu pasar di Riyadh. Warna pelangi ini menghantar “mesej beracun” kepada kanak-kanak,” kata seorang pegawai kementerian Perdagangan Arab Saudi.
Laporan itu tidak memperincikan berapa banyak kedai yang menjadi sasaran atau jumlah barang yang dirampas. Pegawai-pegawai Arab Saudi juga tidak menjawab permintaan untuk mengulas mengenai operasi tersebut.
Operasi pembanterasn itu dibuat selepas Arab Saudi melarang semua filem antarabangsa yang menggambarkan atau merujuk kepada golongan minoriti seksual tersebut seperti Doctor Strange dan Buzz Lightyear. – Agensi