KUANTAN – Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) akan menggiatkan usaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kaedah yang betul dalam pembuangan sisa pukal atau sisa kebun dari setiap rumah.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd. Zain Hassan berkata, pada masa ini sisa pukal merekodkan kira-kira 10 peratus daripada sisa domestik yang dibuang isi rumah dan perlu diuruskan dengan baik bagi mengindahkan lagi pemandangan persekitaran.
“Sekiranya sisa kebun dan sisa pukal diletakkan di tempat-tempat lain, ianya bukan sahaja akan mencacatkan keindahan taman perumahan, malah akan mengundang wabak penyakit serta aktiviti sampah longgok dan sampah haram.
“Apabila kita tahu hari apa dan bagaimana cara-cara untuk membuang sisa-sisa ini, orang ramai dapat merancang bila untuk membuang sisa-sisa tersebut dengan lebih berkesan, kemudian letakkanlah sisa-sisa tersebut bersebelahan dengan tong-tong sampah dan bukannya di tepi jalan atau tempat-tempat awam seperti taman permainan,”katanya selepas acara perlepasan 24 peserta Cyber Eco Hunt 2022 di Teluk Cempedak dekat sini hari ini.
Menurut Mohd. Zain pada masa ini sebanyak 20,000 tan sisa domestik direkodkan di Pahang setiap bulan manakala di Kuala Lumpur sebanyak 2500 tan sisa domestik dikutip sehari.
Justeru katanya, pengurusan sisa pukal yang baik adalah penting memandangkan kira-kira 10 peratus daripada sisa yang dibuang berkenaan merupakan sisa pukal.
“Masyarakat perlu mempunyai kesedaran dalam menguruskan sisa pukal dengan memastikan ia tidak dilonggok sesuka hati sebaliknya diurus dengan tatacara betul seperti daun diasingkan, batang dan dahan dipotong serta dimasukkan ke dalam plastik atau guni khas,”katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, dalam usaha menggiatkan lagi program kitar semula pihaknya bercadang membina Pusat Belian Semula Barangan Kitar Semula di semua daerah di negeri ini.
Katanya, pada masa ini terdapat dua Pusat Belian Semula Barangan Kitar Semula di negeri ini terletak di Kuantan yang mendapat sambutan baik daripada masyarakat dalam usaha mengasingkan sisa kutipan sekali gus menjana pendapatan tambahan kepada mereka.
Sementara itu mengulas mengenai Cyber Eco Hunt 2022 beliau berkata, program yang melibatkan ‘bloggers’ dan ‘influencer’ ini amat signifikan dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai penjagaan alam sekitar.
“Mereka ini mempunyai ramai pengikut dan apabila dicampur kesemuanya lebih sejuta pengikut jadi aktiviti seperti pengurusan sisa pukal dan sebagainya dalam penjagaan alam sekitar ini dapat disampaikan kepada ramai orang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE