fbpx

6,606 graduan terima ijazah, diploma pada Istiadat Konvokesyen UPSI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UPSI.

PETALING JAYA – Seramai 6,606 graduan akan menerima ijazah dan diploma pada Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-23 yang bermula esok sehingga 25 Jun depan.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Prof. Madya Dr. Izwan Shahril berkata, Canselor UPSI, Tuanku Zara Salim berkenan hadir menyempurnakan penganugerahan pada sesi pertama esok yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Tanjung Malim.

Beliau berkata, sebanyak 141 akan dianugerahkan ijazah doktor falsafah; 683 ijazah sarjana; 3,611 ijazah sarjana muda; 189 Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah serta 1,982 dianugerahkan diploma.

“Istiadat konvokesyen ini menyaksikan sembilan graduan akan menerima ijazah secara anumerta (penghargaan kepada waris graduan yang meninggal dunia dan berjaya menyelesaikan lebih 85 peratus pengajian mereka).

“UPSI mengucapkan setinggi tahniah kepada semua graduan yang berjaya mengharungi suka duka sehingga tamat pengajian demi masa depan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Izwan berkata, penganjuran majlis dalam suasana endemik itu juga membenarkan ibu, bapa, suami, atau isteri graduan memasuki dewan untuk menyaksikan graduan menerima ijazah.

“Walaubagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) tetap dilaksanakan menerusi semakan MySejahtera dan pemeriksaan sampel ujian air liur sebagai prosedur tapisan yang ditetapkan,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI