fbpx

Warga emas maut, isteri parah motosikal bertembung Perodua Myvi curi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal mangsa dan kereta Perodua Myvi selepas bertembung di Jalan Padang Guchil, Tanah Merah hari ini.FOTO IHSAN POLIS

TANAH MERAH – Seorang warga emas maut manakala isterinya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Padang Guchil di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa, Lee Boon Kian, 71, cedera parah pada bahagian kepala meninggal dunia di lokasi kejadian semasa sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas berjoging bersama isterinya yang berusia 63 tahun.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 dengan membonceng isterinya selepas mereka berjoging.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mereka dipercayai bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan.

“Insiden itu menyebabkan mangsa dan isterinya tercampak ke atas jalan. Pemandu kereta tersebut telah melarikan diri dengan meninggalkan kereta yang dipandunya di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan terhadap nombor casis kereta itu mendapati ia dilaporkan hilang di Tanah Merah dekat sini pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wan Zulfikri, mayat Boon Kian dihantar ke Hospital Tanah Merah bagi proses bedah siasat manakala isterinya turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Katanya, polis sedang mengesan pemandu kereta Perodua Myvi itu untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI