MOOSE LAKE, MINNESOTA – Seorang wanita transgender di Amerika Syarikat (AS) yang dikurung di sel lelaki atas kesalahan berkaitan dadah bertindak menyaman penjara tersebut kerana didakwa menjadi mangsa diskriminasi, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Christina Lusk, 56, mendakwa dia mengalami penderaan seksual dan lisan sejak dipenjarakan di penjara Moose Lake dalam negeri Minnesota selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki dadah.
Lusk yang diiktiraf secara sah sebagai wanita dan menjadi transgender 14 tahun lalu telah meminta untuk dipindahkan ke penjara wanita di bandar Shakopee.
Seorang peguam untuk kumpulan Gender Justice, Jess Braveman mewakili Lusk bersama firma undang-undang, Minneapolis Robins.
“Dia ialah seorang wanita dan secara tiba-tiba ditempatkan di kemudahan lelaki. Dia ditempatkan bersama beberapa banduan lelaki dan terdedah kepada gangguan dan keganasan,” kata Braveman.
Ketika berada di penjara, Lusk juga telah dinafikan hak prosedur untuk menentukan jantina oleh pegawai, jelas tuntutan mahkamah itu. Ia juga menyatakan bahawa prosedur yang sama telah diluluskan oleh doktor perubatan sebelum dia dipenjara.
Tindakan memasukkan Lusk ke dalam penjara lelaki dan keputusan untuk menafikan prosedur perubatan adalah tidak berperlembagaan dan melanggar hak asasi manusia, demikian menurut tuntutan mahkamah.
Lusk menuntut pampasan sebanyak AS$50,000 (RM220,939) dan meminta agar dia diperlakukan sebagai seorang wanita oleh sistem penjara kebangsaan.
Peguamnya juga menuntut agar dia dikeluarkan dari penjara lelaki di Moose Lake. Hukumannya akan tamat pada 2024. – Agensi