ABU DHABI, EMIRIYAH ARAB BERSATU – Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan penghentian eksport dan eksport semula gandum serta tepung gandum yang dihasilkan di India selama empat bulan, lapor laman berita RT semalam.
Menurut agensi berita tempatan, WAM yang memetik kenyataan Kementerian Ekonomi, UAE sedang berusaha untuk memenuhi bekalan domestik susulan gangguan terhadap aliran perdagangan global.
Arahan tersebut diguna pakai terhadap semua jenis gandum termasuk keras, biasa dan lembut serta tepung gandum.
“Syarikat-syarikat yang ingin mengeksport atau mengeksport semula gandum serta jenis-jenis tepung gandum dari India yang diimport ke UAE sebelum 13 Mei lalu, perlu menghantar permohonan kepada Kementerian Ekonomi untuk mendapatkan kelulusan eksport,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Tambahnya, India telah meluluskan eksport gandum ke UAE bagi kegunaan domestik sahaja.
Kerajaan India pada bulan lalu mengumumkan larangan eksport gandum, kecuali ke negara-negara yang disokong oleh surat kredit sedia ada serta bagi yang ingin menjamin keselamatan makanan. – Agensi