fbpx

Sultan Johor ingatkan Persekutuan jangan ‘cabuli’ kuasa negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Ibrahim berkenan merasmikan pembukaan Persidangan DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, di sini hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar kerajaan persekutuan menghormati perjanjian yang termaktub antara pusat-negeri dalam penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan tidak mencabulinya dengan sesuka hati.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda berasa kecewa dengan beberapa tindakan kerajaan persekutuan yang dilihat seolah-olah menganaktirikan Johor dalam beberapa keputusan yang dibuat.

“Semua pihak mesti ingat kuasa negeri yang termaktub dalam perjanjian Tanah Melayu, jangan buat keputusan sesuka hati, saya kecewa dengan keputusan Persekutuan membatalkan rayuan tuntutan Batu Puteh pada tahun 2018.

“Perdana Menteri ketika itu telah membuat keputusan sendiri dengan mengarahkan Peguam Negara cuti berehat pada ketika Kabinet belum dibentuk, Johor juga langsung tidak dirujuk sedangkan keputusan itu melibatkan tanah dan kedaulatan Johor, oleh itu saya mahu kerajaan ambil tindakan tegas terhadap pihak yang langgar kuasa negeri.

“Malah sekiranya kuasa negeri telah dicabuli maka perjanjian Persekutuan itu boleh dianggap terbatal dengan sendirinya, dan Johor bukan lagi sebahagian dari Persekutuan,” titahnya ketika berkenan berucap merasmikan Persidangan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Untuk makluman, Perdana Menteri Malaysia ketika itu adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad manakala Peguam Negara yang diarahkan bercuti adalah Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Sultan Ibrahim turut bertitah bahawa baginda berasa sedih dengan tindakan Persekutuan yang tidak menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan terhadap infrastruktur-infrastruktur awam yang terdapat di negeri ini.

“Saya rasa sedih dengan bangunan Persekutuan yang tidak diselenggara dengan baik seperti HSA (Hospital Sultanah Aminah), HSI (Hospital Sultan Ismail), Kompleks CIQ di BSI (Bangunan Sultan Iskandar) dan juga kemudahan UTC (Pusat Transformasi Bandar) yang perlu dipertingkat dengan sistem penyampaian lebih cekap dan selesa.

“Saya seru kerajaan Persekutuan agar segera tunai janji naik taraf Lebuh Raya Utara Selatan kepada enam lorong dan Lebuh Raya Senai-Desaru kepada empat lorong, juga jalan persekutuan yg rosak dan berlubang, saya rasa seolah-olah Johor dianaktirikan walhal Johor adalah penyumbang utama ekonomi negara.

“Jangan sampai rakyat Johor desak untuk keluar dari Malaysia, mungkin Johor lebih maju jika berdiri atas kaki sendiri,” titah baginda lagi.

Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan kerajaan negeri Johor agar berani melakukan perubahan demi kepentingan rakyat negeri itu.

“Saya tegaskan bahawa Johor tidak akan lagi beri hak milik tanah kepada Persekutuan tetapi sebaliknya mana-mana projek Persetujuan hanya akan diberi tanah rizab,” jelasnya.

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut mengingatkan bahawa had umur minimum kelayakan untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor kekal dengan usia 21 tahun dan bukannya 18 tahun. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI