fbpx

SPM 2021: Dua sahabat baik peroleh 9A+

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Emir Faliq (dua dari kiri) Nur Aina Fadhlina (dua dari kanan) bersama ibu mereka menunjukkan keputusan cemerlang yang diperoleh dalam SPM 2021 di SMK Bukit Jambul di sini hari ini. - FOTO: IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Dua sahabat baik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul di sini tidak menyangka meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diumumkan hari ini.

Emir Faliq Lim Adam Lim, 18 dan Nur Aina Fadhlina Ahmad Fazli, 18, yang merupakan rakan sekelas berjaya memperoleh 9A+ dalam SPM walaupun berdepan dengan cabaran getir ketika mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) susulan pandemik Covid-19.

Kedua-dua mereka merupakan antara 17 pelajar cemerlang SPM 2021 peringkat Pulau Pinang dan pelajar terbaik bagi SMK Bukit Jambul.

Nur Aina Fadhlina berkata, dia, Emir serta rakan-rakan sekelas aliran Sains di sekolah berkenaan sering berinteraksi secara dalam talian bagi bertukar-tukar nota pelajaran, dan berbincang bersama mengenai mata pelajaran yang kurang difahami.

”Selama hampir dua tahun kami mengikuti proses PdPR, cabaran memang besar ketika itu kerana proses belajar serta interaksi di dalam talian adalah sesuatu yang baharu buat kami.

”Saya bernasib baik kerana para guru banyak membantu dan kami juga sering berinteraksi bersama rakan-rakan sekelas untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang sesuatu subjek,” katanya ketika ditemui di SMK Bukit Jambul di sini hari ini.

Aina Fadhlina yang bercita-cita mahu menjadi akauntan berkata, kejayaannya serta rakan-rakan lain mengharungi proses PdPR sepanjang tempoh pandemik Covid-19 adalah berkat sokongan ibu, Nordibradini Selamat, 46, guru-guru dan rakan-rakan di sekolah.

”Tanpa sokongan saya dan rakan-rakan lain tidak akan berjaya memperoleh keputusan cemerlang ini,” katanya.

Dalam pada itu, Emir yang merupakan anak bongsu dari dua beradik berkata, sama seperti Aina dia turut berdepan kesukaran pada mulanya untuk mengikuti proses PdPR namun bantuan guru-guru yang sering berinteraksi dan memberi respond yang segera kepada pelajar amat membantu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI