fbpx

Pupuk semula amalan menabung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amalan menabung sepatutnya dipupuk sejak kecil
AFIQ AL-HAFIZ MAT YUSOF, WARTAWAN EKSEKUTIF

KENAIKAN harga barangan yang berlaku secara mendadak di negara ini seharusnya menjadi batu loncatan untuk semua lapisan masyarakat mempraktikkan semula amalan menabung.

Amalan menabung dilihat sa­ngat penting dalam menghadapi dunia yang penuh cabaran, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi dunia yang tidak menentu.

Majoriti rakyat negara ini terjejas teruk selepas ditimpa pelbagai dugaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini seperti kejadian banjir besar, hilang pekerjaan ­akibat pandemik Covid-19 dan terbaharu, harga barang yang terus meningkat naik.

Impak kejadian di atas menyebabkan rakyat semakin tersepit dan sukar untuk bangkit selepas di­timpa dengan cabaran hari esok yang semakin membebankan.

Justeru, amalan menabung dilihat sangat signifikan dalam membantu diri sendiri dan ke­luarga untuk berjuang menelusuri perjalanan hidup yang penuh onak dan duri.

Mulakan dengan nilai yang dirasakan mampu untuk disimpan pada setiap bulan tanpa gagal dan mengawal diri daripada berbelanja barangan yang tidak diperlukan.

Tiada siapa dapat membantu jika kita sendiri gagal menguruskan diri dengan baik dan janganlah terlalu mengharapkan ban­tuan orang lain untuk ke­senangan sementara.

Disiplin menjadi kata kunci yang mudah untuk diungkapkan, namun sukar untuk dipraktikkan kerana sudah menjadi lumrah manusia yang mudah terpesona dengan kecantikan dan kemewahan di dunia.

Sentiasa mengawal dan mela­kukan pemantauan terhadap se­tiap perbelanjaan yang dilakukan selain berjimat cermat serta bijak merancang perbelanjaan bagi membolehkan simpanan dapat dilakukan.

Bagaimanapun, tidak salah jika sesekali membahagiakan diri sendiri atau keluarga dengan duit simpanan tersebut sebagai ‘hadiah’ selepas jerih perih menabung.

Jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus menabung bagi kesenangan masa hadapan.

Amalan menabung ini juga harus diterapkan pada anak-anak agar mereka mengetahui erti kesusahan dalam mencari rezeki dan ibu bapa juga harus menjadi contoh yang baik bagi memastikan amalan tersebut berjaya dipraktikkan.

Tiada kerugian atau keburukan sekiranya mempraktikkan amalan menabung, sebaliknya ia memberikan kesenangan kepada individu tersebut sekiranya berada dalam situasi yang memerlukan.

Memetik titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada April lalu, didikan amalan menabung hendaklah diasuh awal dan dimulakan sejak kecil.

Baginda bertitah, tabungan untuk masa depan merupakan kemestian kepada semua individu khususnya sebagai persiapan bagi kelangsungan hidup seperti persediaan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Budaya menabung wajar dijadikan silibus dalam pendidikan negara agar sikap ini dihayati oleh generasi akan datang,” titah baginda.

Dalam pada itu, literasi kewangan juga harus dipertingkatkan bagi memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat dalam aspek pengurusan kewa­ngan seterusnya mampu melahirkan generasi yang berkemahiran dan pandai berdikari dari segi kewangan.

Menabung dan budaya jimat cermat adalah elemen penting dalam menentukan serta menjamin masa depan setiap individu kerana bukan semua manusia dilahirkan dengan kesenangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI