KOTA BHARU – Polis menahan 11 pengedar dadah termasuk seorang wanita dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM211,000 dalam Ops Tapis selama seminggu yang berakhir Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, kesemua suspek berusia 20 hingga 51 tahun ditahan dalam sembilan serbuan yang dijalankan di daerah ini, Pasir Mas, Gua Musang, Pasir Puteh dan Bachok
Menurutnya, dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 18,500 biji pil kuda, heroin (211.57 gram), syabu (75.90 gram) dan ganja (14.64 gram)
“Polis menyita sembilan buah motosikal, dua buah kereta dan wang tunai berjumlah RM16,280. Dua utas gelang dan dua bentuk cincin bernilai RM123,324 turut dirampas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Siasatan mendapati, jumlah rampasan dadah itu boleh dibekalkan kepada seramai 94,200 penagih. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE