SHAH ALAM – Seorang pengedar dadah dicekup selepas mencederakan dan melakukan ugutan jenayah kepada sepupu dan keluarganya, kelmarin.
Suspek berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11 malam di Kampung Olak Lempit.
Turut dirampas bersama suspek adalah selaras senapang angin dan ganja seberat 256.85gram bernilai RM 2,500.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Salleh berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan daripada seorang kerani wanita sebuah syarikat penerbangan berusia 27 tahun pada 1 Mei lalu.
Katanya, berdasarkan laporan tersebut berlaku perselisihan faham dengan bapa saudaranya yang membuat bising semasa anak kerani itu sedang tidur.
“Ekoran itu, telah berlaku pertengkaran di antara keluarga pengadu dengan keluarga bapa saudara yang tinggal serumah.
“Sepupu mangsa kemudiannya telah mengugut pihak keluarga mangsa dengan sebatang besi dan batu serta telah mengasari kerani itu sehingga menyebabkan luka kecil di bibirnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bertindak atas maklumat polis kemudiannya berjaya menahan suspek selain merampas sejumlah dadah jenis ganja, selaras senapang angin, sebilah pisau besi selain sebuah botol minuman bertulis sting energy boost yang telah diubahsuai.
Beliau menambah, hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah dan dua rekod dadah.
“Siasatan mendapati suspek aktif dalam kegiatan dadah di kawasan Banting sejak tiga tahun lalu.
“Suspek kini direman selama lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan, Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE