PETALING JAYA – Satu video tular di media sosial menunjukkan pergerakan air deras di pinggir Sungai Berok ekoran hujan lebat selama satu jam kelmarin.
Difahamkan, berlaku kejadian banjir lumpur sehingga menyebabkan beberapa kenderaan terkandas selama lima jam di kawasan Lojing ke Gua Musang.
Hari ini, rakaman video berdurasi dua minit itu mendapati seorang lelaki menunjukkan air sungai deras dan berlumpur di sekitar Lojing, Kelantan.
Orang ramai yang melihat keadaan sungai itu turut meninggalkan komen terhadap kejadian banjir lumpur tersebut.
“Kalau tengok dalam peta Google, kawasan Sungai Berok ini dinyahutan sampai sempadan Pahang hingga kawasan Gua Musang, tepi sungai tiada apa yang tinggal,” tulis Khalid.
“Tengok kepada slogan bukan main hebat, tetapi sedih dengan realiti (yang berlaku),” ujar Zul.
“Allahuakbar, kita perlu menjaga khazanah alam sekitar,” komen seorang lagi pengguna media sosial- KOSMO ONLINE.