PETALING JAYA – Maxis telah membentuk perikatan 5G terbesar di Malaysia untuk mempercepatkan penemuan teknologi dan penyelesaian perusahaan IoT.
Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus, perikatan tersebut terdiri daripada rakan kongsi teknologi dan industri global dan tempatan, innovator serta pelanggan rumah api daripada pelbagai industri.
Menurut beliau, perikatan ini juga bakal mencipta, mengkomersialkan dan menskalakan kes penggunaan 5G dan penyelesaian inovatif rentas industri untuk memacu transformasi digital serta inovasi.
“5G akan membawa faedah menarik kepada individu, perniagaan dan kerajaan dalam memperkukuh daya saing Malaysia di rantau ini.
“Di Maxis, kami komited untuk memupuk dan melabur dalam inovasi negara dan berbesar hati dengan rakan kongsi kami yang bekerjasama untuk berkembang dan memanfaatkan ekosistem simbiotik untuk membuka nilai lumayan teknologi IR4.0 seperti IoT, Awan, Pengkomputeran Tepi, VR dan AR,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
McManus menerangkan, 5G Alliance Maxis kini bermula dengan 16 ahli dan antaranya adalah Advantech, Amdocs, CrescoNet (dahulunya syarikat kumpulan Intellihub), Cisco, Google, GSMA (Komuniti Industry 5G APAC), Huawei, LLVision, Microsoft, MIMOS, Motorola Solutions, NEC, Omron, Realwear, SAS dan Vodafone.
Tambah beliau, komuniti yang bakal berkembang berasaskan kerjasama terbuka itu merentas semua organisasi yang boleh mempercepatkan penerimaan dan penggunaan inovasi didayakan oleh 5G dan saling hubungan rangkaian tertumpu. -KOSMO!ONLINE