PETALING JAYA – Percutian pasangan selebriti terkenal Aeril Zafrel dan Wawa Zainal sekali lagi mengundang perhatian apabila berkongsi video menikmati hidangan stik mewah di sebuah restoran milik tukang masak popular, Salt Bae di London, England.
Menerusi video yang dimuat naik Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 32, memaparkan layanan istimewa daripada Salt Bae sendiri yang menabur garam di atas hidangan daging stik yang dipesan.
Tidak cukup dengan itu, jumlah bil yang diterima mereka juga turut mengejutkan ramai iaitu sebanyak £1,791.70 (RM10,065.54).
“Selepas ini, kalau nak makan, tengok harga dulu,” kata pelakon filem 7 Petala Cinta itu.
Rata-rata pengikut Instagramnya juga terkejut dengan bayaran tersebut dan menyamakannya dengan jumlah wang pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini.
“RM10,000, memang terus habis kalau duit KWSP tempoh hari,” komen netizen.
“Makanan terkena siku pun tetap harga RM10,000. Kalau saya beli daging kotak sajalah,” seloroh seorang pengguna Instagram.
Dalam pada itu, ada yang berpendapat, jumlah bil tersebut bukan hanya untuk makanan tetapi juga layanan yang ditawarkan di restoran berkenaan.
“Bukan saja bayar untuk makanan tetapi juga servis yang diberikan pelayan di sana termasuk cef,” kata netizen.
“Tak mengapa, ini mungkin motivasi selepas penat bekerja, hadiah untuk diri sendiri,” ujar seorang lagi netizen.
Selain Aeril dan Wawa, turut kelihatan dalam video sama ialah pasangan selebriti Mawar Rashid dan Raf Yaakob.
Sebelum ini, Aeril dan Wawa juga pernah dikecam kerana dikatakan menunjuk-nunjuk kemewahan seperti hadiah kereta mewah sempena sambutan hari jadi baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE