fbpx

Lelaki kudung mengaku salah rogol adik dijel 14 tahun, lapan sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi tertuduh (dua dari kanan) yang menghadapi pertuduhan merogol adiknya di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Seorang penganggur yang kudung kaki kanannya dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan lapan sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merogol adik kandungnya yang berusia 14 tahun, hujung tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 21 tahun yang turut bertongkat membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan persetubuhan dengan mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun apabila perhubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama dan adat untuk berkahwin dengan kanak-kanak tersebut.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di sebuah rumah di Ketereh di sini kira-kira pukul 10 malam hingga 11 malam pada 1 November 2021 hingga 7 November 2021.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini memohon mahkamah menetapkan hukuman yang setimpal kerana tertuduh mengakui perbuatan keji yang dilakukan terhadap adik kandungnya.

“Mangsa berusia 13 tahun ketika kejadian dan masih tidak dapat membezakan baik atau buruk sesuatu perbuatan. Sebagai seorang abang, tertuduh sepatutnya memberi tauladan yang baik dan menjaga maruah adik malah tidak sepatutnya melakukan perbuatan yang meninggalkan kesan trauma kepada mangsa.

“Justeru, saya memohon satu hukuman yang setimpal sebagai mesej untuk menjaga kepentingan awam agar masyarakat tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 14 tahun bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 3 Jun lalu dan lapan sebatan.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah merogol adiknya pada bulan November tahun lalu dan mengugut akan memukul kanak-kanak itu sekiranya memaklumkan kejadian tersebut kepada orang lain.

Rentetan daripada kejadian itu, ibunya yang berusia 46 tahun mengesyaki ada sesuatu di dalam perut mangsa semasa kanak-kanak tersebut menerima rawatan akibat selsema di Klinik Kesihatan Lundang Paku di sini.

Mangsa kemudian telah dirujuk kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini sebelum pemeriksaan di Hospital Kajang, Selangor mengesahkan kanak-kanak itu mengandung.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai tergamak merogol adik kandungnya yang berusia 13 tahun sehingga mengandung 26 minggu.

Mangsa merupakan pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah menengah di sini dipercayai telah beberapa kali melakukan hubungan seks dengan abang kandungnya tanpa pengetahuan ibu bapa mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI