fbpx

Joe Biden umum bantuan ketenteraan baharu AS$1 bilion untuk Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pakej senjata itu termasuk meriam, sistem pertahanan antikapal, peluru meriam dan sistem pelancar roket yang sedia digunakan oleh Ukraine. - AFP

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan pakej senjata dan peluru baharu untuk Ukraine kelmarin selepas bercakap dengan Presiden Volodymyr Zelenskyy dan mengulangi sokongan Washinton kepada Kiev dalam memerangi pencerobohan Russia.

Pakej senjata bernilai AS$1 bilion (RM4.4 bilion) itu termasuk meriam, sistem pertahanan antikapal,  peluru meriam dan sistem pelancar roket yang sedia digunakan oleh Ukraine.

Dalam panggilan telefon bersama Zelenskyy, Biden berkata, beliau mengulangi komitmen bahawa AS akan bersama-sama Ukraine dalam mempertahankan demokrasinya di samping menyokong kedaulatan dan integriti Kiev ketika berdepan serangan Russia, demikian menurut satu kenyataan AS.

Biden juga mengumumkan bantuan kemanusiaan berjumlah AS$225 juta (RM989.5 juta)  untuk Ukraine.

Wang bantuan itu akan digunakan untuk membekalkan makanan, air minuman, bekalan ubat dan barangan kritikal lain.

“Keberanian, daya tahan dan keazaman rakyat Ukraine berterusan memberi inspirasi kepada dunia,” kata Biden.

Menurut Pentagon, pakej bekalan senjata baharu itu termasuk 18 lagi meriam 155 milimeter dan 36,000 butir pelurunya, dua sistem peluru pandu antikapal  dan sejumlah roket untuk sistem roket tepat Himars.

Dengan jarak sekitar 80 kilometer, roket Himar berpotensi memberikan lebih keupayaan untuk Ukraine menyerang sasaran Russia dengan lebih tepat dalam perang artileri di barisan hadapan.

Beberapa pegawai AS berkata, kumpulan pertama askar Ukraine menamatkan latihan penggunaan Himars kelmarin.

Pakej itu menjadikan nilai senjata yang dibekalkan oleh AS kepada Ukraine sejak pencerobohan Russia pada 24 Februari lalu meningkat kepada AS$5.6 bilion (RM24.6 bilion). – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI