PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia untuk menuruti apa saja kehendak yang dimahukan oleh Kim Pan-gon bagi memastikan prestasi Harimau Malaya mampu ditingkatkan dan mengelak menjadi mangsa buli kepada pasukan gergasi di pentas Piala Asia, tahun depan.
Selepas melihat transformasi yang sudah pun dijelmakan oleh jurulatih dari Korea Selatan itu, FAM mula yakin dan dalam masa sama, kelab tempatan juga wajar memainkan peranan penting untuk terus melahirkan pemain berkualiti.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, walaupun mampu menghasilkan keputusan yang diimpikan, beliau akan sentiasa kekal menjadi individu yang tidak mudah berpuas hati.
“Terima kasih kepada semua kelab yang dapat lahirkan pemain. Di sini kita dapat lihat sumbangan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang jadi penyumbang terbesar kepada senarai pemain. Sebagai presiden, sepanjang masa saya tidak berpuas hati kerana KPI (Petunjuk Prestasi Utama) saya tinggi, kita kena bangkit dan jadikan perkara di belakang (yang lepas) sebagai tauladan.
“Kita perlu bersiap daripada sekarang dan untuk persiapan, kita perlukan belanja kerana caranya berlainan. Caranya akan datang daripada Kim Pan-gon dan kita tidak boleh lambat kerana saya nak buat kejutan di sana (Piala Asia).
“Saya jenis orang yang bila orang minta, orang itu perlu tunjuk kerja dia. Persahabatan juga kena lawan pasukan lagi besar dan kalau perlu cari duit, kita pun kena cari duit,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan kelmarin.
Pada masa sama, Hamidin juga mengingatkan semua pihak supaya membantu pasukan supaya lebih konsisten yang bukannya terlalu dibuai mimpi indah layak ke pusingan akhir Piala Asia buat kali pertama dalam tempoh 42 tahun.
“Kejayaan ini hadir dalam padang 50 peratus dan selebihnya adalah dari luar padang. Kalau tanya pemain apa yang Pan-gon buat, pendekatannya adalah cepat, tepat dan mudah malah saya sendiri dapat lihat persiapan luar padang cukup mantap.
“Kita perlu konsisten. Kalau perancangan tidak betul, mungkin kita akan jatuh balik,” katanya.