BANDAR RAYA NEW YORK – Aktres Amber Heard secara terbuka mengakui masih mencintai bekas suaminya, pelakon Johnny Depp walaupun selepas pelbagai konflik yang berlaku di antara mereka, lapor laman Entertainment Weekly, semalam.
Bintang Aquaman itu berkata dia tidak pernah menyimpan sebarang perasaan benci, negatif atau dendam terhadap Depp malah cintanya masih sama seperti ketika mereka berkahwin.
“Saya cintakan dia sepenuh hati. Apa yang berlaku di antara kami sekarang tidak mengubah kenyataan dia ialah cinta hati saya.
“Saya cuba sedaya upaya untuk membaiki hubungan yang musnah ini namun saya tidak berdaya. Namun, saya tidak pernah berhenti mencintai dia,” kata Heard dalam rakaman temubual bersama program Today.
Tambah Heard, perkara itu mungkin kedengaran gila atau tidak masuk akal namun dia hanya berterus-terang dengan apa yang dirasainya.
“Hanya orang yang pernah mencintai seseorang seperti saya mencintai Johnny akan memahami mengapa apa yang berlaku ini tidak menjejaskan perasaan saya terhadapnya,” tegas Heard. – Agensi