PETALING JAYA – Pelajar sekolah menengah, Ain Husniza Saiful Nizam yang sebelum ini pernah tular selepas mendedahkan tindakan seorang guru membuat lawak berkenaan rogol berkongsi perasaan gembira memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.
Ain Husniza melalui hantaran di Twitternya berkata, selepas mengharungi pelbagai perkara susulan daripada pendedahannya itu, dia tetap tidak berputus asa dalam pelajarannya.
Hasilnya, Ain Husniza memperoleh empat A+ bagi mata pelajaran bahasa Inggeris, sejarah, kesusasteraan Melayu komunikatif dan pendidikan seni visual; tiga A bagi mata pelajaran bahasa Melayu, pendidikan Islam dan sains serta satu B bagi matematik.
“Tak boleh gambarkan betapa tertekannya saya semasa SPM. Bukan sahaja ada yang beritahu saya tidak ada berkat dalam pelajaran malah ada yang doakan saya gagal.
“Saya turut diejek dan didoakan perkara yang tidak elok. Naik turun balai polis, menangis, tertekan semasa belajar, tertekan dikecam. Bila saya baca bermacam mesej daripada orang ramai, saya berjanji akan buktikan mereka salah,” ciapnya.
Ain Husniza berkata, dia juga percaya keputusan yang diperoleh itu adalah berkat daripada guru-guru yang ikhlas mengajarnya dan rakan-rakan lain di sekolah.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 10 Jun lalu memfailkan permohonan untuk menarik diri mewakili guru yang disaman balas Ain Husniza berhubung gurauan isu merogol. – KOSMO! ONLINE