fbpx

500 individu terkaya dunia rugi RM6.1 trilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemelesetan ekonomi adalah antara punca nilai kekayaan individu tertentu semakin merosot disebabkan inflasi dan kadar faedah terlampau tinggi. - INC

WASHINGTON – Seramai 500 individu terkaya dunia dilaporkan telah kehilangan nilai kekayaan terkumpul sebanyak AS$1.4 trilion (RM6.1 trilion) sejak awal tahun ini, demikian menurut Indeks Bilionair Bloomberg.

Menurut laporan laman berita RT, pengiraan indeks berkenaan menunjukkan individu paling kaya di dunia menjadi lebih ‘miskin’ sebanyak AS$206 bilion (RM910 bilion) hanya untuk satu hari iaitu pada Isnin lepas.

Pengasas Binance, agensi pertukaran mata wang kripto terbesar dunia, Changpeng Zhao, mengalami kerugian terbesar dengan kekayaannya menyusut sebanyak AS$85.6 bilion (RM378 bilion) menjadi AS$10.2 bilion (RM45 bilion) sejak awal tahun ini.

Pengasas Tesla dan Space X, Elon Musk menduduki tempat kedua dari segi kerugian, apabila kehilangan kira-kira AS$73.2 bilion (RM323.4 bilion).

Pengasas Amazon, Jeff Bezos pula lesap AS$65.3 bilion (RM288 bilion), manakala kekayaan pemilik Meta, Mark Zuckerberg menyusut sebanyak AS$64.4 bilion (RM284.6 bilion).

Ketua Pegawai Eksekutif Louis Vuitton Moet Hennessy, Bernard Arnault juga menerima nasib sama apabila kehilangan AS$56.8 bilion (RM251 bilion) setakat tahun ini.

Penganalisis menyalahkan keadaan ekonomi sebagai punca kepada kerugian tersebut berikutan inflasi yang melambung tinggi dan kenaikan kadar faedah yang telah menjejaskan pasaran kewangan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI