KOTA TINGGI – Empat mayat lelaki tanpa identiti ditemui terapung di beberapa lokasi berbeza di perairan Johor Timur dalam tempoh 48 jam.
Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, maklumat pertama diterima daripada pemancing yang menemui satu mayat terapung di kedudukan 8.6 batu nautika timur laut Tanjung Balau pada pukul 10.30 pagi semalam.
Katanya, bertindak atas maklumat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor Zon Maritim Tanjung Sedili mengatur gerak aset ke lokasi dilaporkan bagi proses mengambil mayat.
“Seterusnya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan kedua penemuan mayat oleh nelayan tempatan di kedudukan 16 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Besar sekitar pukul 12.40 tengah hari.
“Kedua-dua mayat itu telah dinaikkan ke dalam aset Maritim Malaysia dan seterusnya dibawa ke jeti Zon Maritim Tanjung Sedili.
“MRSC Johor Bahru juga menerima maklumat penemuan dua mayat terapung oleh nelayan tempatan pada 14 Jun di perairan Pulau Lima masing-masing ditemui pada pukul 12.50 tengah hari dan 1.10 petang.
“Dua mayat berkenaan telah dinaikkan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Sungai Musoh pada pukul 4.30 petang kelmarin,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kesemua mangsa disyaki warga asing itu telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seterusnya dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, beliau tidak menolak kemungkinan kesemua mayat mungkin dipercayai terlibat dengan insiden di laut bagaimanapun sehingga hari ini MRSC Johor Bahru atau mana-mana balai polis belum menerima sebarang aduan orang hilang di laut.
Jelasnya, hasil maklumat lanjut dari pihak Agensi Nasional Mencari dan Menyelamat Indonesia (Basarnas) juga tiada laporan berkenaan orang hilang diterima setakat ini.
“Kesemua mayat belum dikenalpasti kewarganegaraan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menyalurkan terus kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07 – 2199401 yang beroperasi secara 24 jam,”katanya lagi.-KOSMO! ONLINE