KLANG – Ketamakan dua bot nelayan tempatan kelas C menangkap ikan di luar kawasan dibenarkan membawa padah apabila ditahan Maritim Malaysia (APMM) Selangor secara berasingan di kedudukan 22 batu nautika barat daya Sungai Besar dekat sini semalam.
Dalam kejadian bermula 1.30 tengah hari itu turut menahan sembilan kru warga Indonesia termasuk tekong berusia 22 hingga 62 tahun selain merampas 700 kilogram (kg) hasil laut.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, dua bot itu ditahan hasil Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk semasa rutin rondaan dan penguat kuasaan di sekitar perairan Selangor.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan itu berdaftar di Perak dan perlu menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan negeri tersebut sahaja.
“Kedua-dua bot nelayan tempatan itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.
“Penahanan bot-bot itu dilakukan selang 15 minit bermula pukul 1.30 tengah hari” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE.