SEBERANG PERAI – Tiga gadis tidak menyangka perniagaan nasi lemak yang diusahakan mereka di Padang Ibu, Kubang Semang di sini laris sehingga boleh terjual lebih 500 bungkus sehari.
Perniagaan yang diusahakan sejak sembilan tahun lalu kini menjadi perhatian ramai pelanggan selepas tular di media sosial TikTok dua minggu lalu.
Pemilik kedai Nasi Lemak dan Kuetiau Kerang Daun Pisang Versi Abg. Chik, Nur Syakirah Mohd. Zaidi, 22, berkata, bisnes yang diusahakan bersama dua adik perempuannya berusia 15 dan 19 tahun itu semakin mendapat sambutan seawal gerai dibuka pukul 7.30 pagi.
Mereka turut dibantu seorang rakan, Nur Shafieza Azhari, 19, yang bertindak sebagai pembungkus nasi lemak.
Menurut Nur Syakirah yang lebih mesra disapa sebagai kak Chik, nasi lemak itu asalnya adalah perniagaan hasil air tangan ibu mereka, Sabariah Taib, 53.
“Ketika ini hampir 500 bungkus nasi lemak terjual dalam masa dua jam tidak termasuk kuetiau kerang yang turut dijual masing-masing dengan harga RM1.20 dan RM6 sebungkus.
“Sebelum kedai kami tular, jualan nasi lemak habis sekitar 450 bungkus sehari, namun selepas kejadian tular di TikTok memang rezeki kami lebih lagi. Syukur, alhamdulillah.
“Kadangkala ada pelanggan sanggup menunggu nasi lemak seawal 7.30 pagi sebaik sahaja kami memulakan operasi. Pelanggan yang datang juga kebanyakannya akan beli 10 bungkus ke atas,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di gerai makannya yang terletak berhadapan Masjid Jamek Padang Ibu, dekat Kubang Semang di sini baru-baru ini.
Ujarnya, nasi lemak yang dijual pada harga RM1.20 ini mengandungi nasi, kacang, sambal serta telur selain beralaskan daun pisang.
“Harga RM1.20 itu sejak empat tahun lalu kekal sampai sekarang berbanding sebelumnya berharga RM1 sebungkus.
“Cuma untuk kuetiau kerang kami terpaksa naikkan harga sebanyak RM1 iaitu dari RM5 kepada RM6 sebungkus disebabkan kos bahan mentah termasuk kerang naik mendadak.
“Ramai pelanggan faham dan boleh menerima kenaikan tersebut,” katanya sambil berseloroh dan memberitahu, pelanggan juga ramai terdiri dalam kalangan anak teruna.
Terdahulu, tular di media sosial TikTok mengenai kegigihan empat anak dara yang mengusahakan gerai makan nasi lemak dan kuetiau kerang dengan salah seorang daripada pekerjanya mempamerkan ketangkasan membungkus nasi lemak.