PETALING JAYA – Pasar Borong Selayang yang sinonim dengan warga asing terutamanya dari Bangladesh menjadi bualan hangat orang ramai hari ini.
Ini susulan kekalahan pasukan bola sepak kebangsaan Bangladesh yang bertemu pasukan negara dalam kelayakan Piala Asia 2023 semalam.
Perlawanan tersebut menyaksikan Malaysia menumpaskan Bangladesh 4-1 seterusnya melayakkan diri ke Piala Asia 2023 secara merit sejak 43 tahun lalu.
Orang ramai turut menimbulkan kerisauan jika Bangladesh memenangi perlawanan semalam, risau jika warganya cuti bekerja kerana meraikan pasukan kebangsaan mereka.
Di laman sosial ketika ini, beberapa keping foto Pasar Borong Selayang turut dikongsi orang ramai dan mengesahkan bahawa pasar besar tersebut masih beroperasi seperti biasa hari ini.
“Jangan risau tuan puan, pasar borong Selayang tetap beroperasi hari ini. Jika semalam mereka menang masak kita nak cari lauk dekat mana hari ini,” ujar Jo Rahman Kontena.
“Nampaknya warga Bangladesh tidak sesedih yang kita fikir, mereka tetap mencari duit. Kalah tu cerita lain, kerja tetap kerja.
“Tidak pasal-pasal pasar borong Selayang pula popular hari ini. Tahniah Harimau Malaya,” kata Faizal Nazreen. -KOSMO! ONLINE.