PETALING JAYA- Rata-rata rakyat Malaysia memohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memberikan satu cuti peristiwa dalam masa terdekat susulan kemenangan skuad negara dalam sesi kelayakan Piala Asia 2023 malam tadi.
Permintaan itu dibuat orang ramai menerusi ruangan komen di laman media sosial Ismail Sabri selepas beliau memuat naik hantaran mengenai kejayaan skuad negara menewaskan Bangladesh 4-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Datuk Seri, tolong bagi cuti peristiwa selepas 42 tahun menanti,” mohon Junichi Kenzo.
“Majoriti rakyat Malaysia mohon hadiahkan cuti peristiwa esok, 42 tahun kita menanti untuk Piala Asia, kasi jadi Datuk Seri,” kata Amzar Farhan.
“Datuk Seri, alangkah indahnya dengan kelayakan ini yang dinantikan selama 43 tahun, Datuk Seri berikan cuti peristiwa buat Keluarga Malaysia, akan dikenang sehingga bila-bila,” jelas Che Nur.
Terdahulu, Ismail Sabri menyifatkan kemenangan skuad negara sebagai satu sejarah baharu memandangkan negara menanti lebih 43 tahun untuk ke Piala Asia.
“Sejarah tercipta buat Malaysia, Alhamdulillah, penantian 43 tahun berakhir apabila kita layak ke Piala Asia 2023.
“Tahniah Harimau Malaya dan para pemain yang berjuang hingga ke tiupan wisel terakhir. Kita teruskan perjuangan Piala Asia 2023,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE