SEPANG – Seorang pekerja khidmat pelanggan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan berkongsi dan menyebarkan kandungan lucah di laman Twitter pada 2019.
Tertuduh, Mohamad Hafizzul Anas Kamaruzaman, 30, didapati melakukan perkara itu dengan menggunakan akaun ‘@lelakilelakise1 di pautan https://twitter.com./lelakilelakise1 masing-masing pada 12 Januari dan 29 Mac 2019.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kandungan itu dikesan pukul 10.50 pagi pada 17 Mei 2019 di Tingkat 8, Menara Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) 1, Jalan IMPACT, Cyber 6, Sepang.
Tertuduh didapati melanggar satu kesalahan di bawah Seksyen 233(22a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (Akta 588] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 23(3) Akta yang sama kerana secara sedar memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial.
Sebaik pertuduhan dibacakan, tertuduh yang tidak diwakili peguam faham akan pertuduhan dan mengaku tidak bersalah.
Hakim Noorhisham Mohd Jaafar kemudian menetapkan tarikh 19 Julai depan sebagai tarikh serahan dokumen dan tiada ikat jamin diberikan ke atas tertuduh.- KOSMO! ONLINE