KULIM – Sebuah pasar raya di sini dikompaun RM1,000 kerana menjual ayam standard pada harga RM10.30 sekilogram melebihi harga maksimum ditetapkan kerajaan RM8.90 sekilogram pagi semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Affendi Rajini Kanth berkata, tindakan itu dibuat berdasarkan aduan orang awam mengenai penjualan ayam standard melebihi harga maksimum.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut ada menjual ayam standard dan tanda harga yang dipamerkan adalah RM10.30 sekilogram.
“Harga jualan melebihi harga maksimum ditetapkan kerajaan melalui pelaksanaan penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam berkuat kuasa 6 Jun hingga 30 Jun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan lanjut mendapati bekalan ayam bersih itu diperoleh dari sebuah ladang ternakan ayam persendirian pada harga RM9.30 sekilogram.
“Pemilik premis mengakui bahawa syarikat tidak sedar akan pelaksanaan penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam,” katanya.
Tambahnya, semasa serbuan dijalankan, jumlah ayam yang diniagakan kira-kira 1,000 kilogram dengan nilai RM8,900.
“Tindakan kes dikenakan kepada peniaga kerana melanggar Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti pencatutan 2011 dan peniaga ditawarkan kompaun serta merta sebanyak RM1,000 dan kompaun berkenaan telah dijelaskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE