CAMBRIDGE, MASSACHUSETTS – Duo masakan popular, Nick DiGiovanni dan Lynn ‘Lynja’ Davis mencatatkan Guinness World Records kedua mereka apabila memasak nuget ayam terbesar di dunia seberat 20.96 kilogram (kg), lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Rekod pertama duo cef selebriti itu dicipta pada November 2021 dengan menghasilkan pop kek terbesar.
Kini, mereka mencuba nasib untuk kali kedua dengan memasak nuget ayam memiliki saiz 115 kali ganda lebih besar daripada nuget biasa.
Pasangan cef itu berkata, mereka menggunakan beberapa bahan dalam hidangan tersebut termasuk 18kg ayam kisar, 40 biji telur, 40 keping roti putih, 1.8 liter susu, tiga perempat cawan serbuk bawang, tiga perempat cawan serbuk bawang putih, secawan garam dan setengah cawan lada hitam.
Nuget itu kemudian disapu dengan telur yang telah dipecahkan dan disalut serbuk roti sebelum dibakar.
“Bagi membakar nuget ayam ini, kami terpaksa membina sejenis peralatan memasak khas,” kata DiGiovanni.
Guinness World Records mengesahkan dan mengumumkan rekod tersebut sebagai nuget ayam terbesar di dunia pada Sabtu lepas. – Agensi