fbpx

Makanan mikrodiet tingkatkan stok benih ikan, udang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. MUHAMMAD FADHIL menunjukkan FS Feed yang dihasilkan oleh pasukan penyelidik UPM bagi meningkatkan tumbesaran dan kadar hidup larva ikan dan udang ternakan.

PENTERNAKAN ikan dan udang kini bukan hanya sekadar menjadi hobi sebahagian masyarakat di negara ini, malah ada yang mengusahakannya secara komersial yang boleh menjana sumber pendapatan.

Bagi membantu penternak hidupan air tersebut, sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mencipta makanan mikrodiet yang dikenali sebagai FS Feed.

Makanan mikrodiet itu mampu untuk meningkatkan tumbesaran dan kadar hidup larva ikan dan udang dalam pengeluaran stok benih.

Ketua Penyelidiknya, Dr. Muhammad Fadhil Syukri berkata, ia adalah 100 peratus organik bagi menggantikan makanan hidup seperti rotifer dan artemia yang diimport untuk anak benih ikan serta udang.

Menurutnya, peningkatan permintaan artemia di seluruh dunia menyebabkan bekalan dan ketersediaannya terbatas, di samping harganya yang semakin meningkat setiap tahun.

CAMPURAN bahan dibuat bagi menghasilkan makanan mikrodiet.

“Disebabkan had dan kos makanan hidup ini, maka FS Feed dapat dijadikan sebagai alternatif bagi menggantikan sumber yang diimport itu.

“Dengan ini, FS Feed menyediakan kos lebih rendah dalam industri penternakan akuakultur, selain ia boleh dicerna dan diserap dengan mudah oleh larva ikan,” terangnya.

Menurutnya, terdapat pelbagai saiz FS Feed iaitu antara 125 hingga 500 mikrometer, yang mana ia boleh diberikan kepada larva secara langsung tanpa memerlukan prakultur atau rawatan.

Oleh itu, kadar pertumbuhan dan survival larva ikan dan udang mampu dikekalkan atau lebih baik dengan menggunakan FS Feed.

Beliau berkata, ciptaan rumusan makanan mikrodiet ini turut memberi jaminan kepada keselamatan makanan penapaian bagi memudahkan anak ikan mencerna makanan.

Pada masa sama katanya, ia mengandungi minyak ikan yang berfungsi sebagai penarik untuk menggalakkan anak ikan atau udang memakannya.

“FS Feed sangat sesuai digunakan oleh penternak dan pembiak larva ikan dan udang kerana dapat mengurangkan kos makanan dengan menggunakan produk tempatan.

“Di samping itu, ia tidak memerlukan tenaga pekerja yang ramai untuk penjagaan makanan ternakan berkenaan.

“Teknologi FS Feed juga mampu menghasilkan pengeluaran sepanjang tahun dan dibekalkan terus kepada penternak,” ujarnya.

INOVASI FS Feed amat sesuai untuk larva ikan.

Dalam pada itu, Dr. Muhammad Fadhil menjelaskan, penyelidikan FS Feed telah bermula sejak 2017 sehingga 2019 bagi mencari formulasi asas bahan tersebut.

Ujarnya, penyelidikan itu masih diteruskan sehingga sekarang bagi meningkatkan keberkesanan sumber makanan berkenaan.

“Kami melakukan penyelidikan ini setelah menyedari harga bahan makanan artemia yang dimport dari luar negara terutamanya Amerika Syarikat, Eropah dan China semakin meningkat setiap tahun.

“Ia sama seperti jagung bijirin import yang digunakan dalam industri penternakan haiwan.

“Kebanyakan penternak akuakultur bergantung kepada artemia bagi menghasilkan anak benih ikan atau udang,” jelasnya.

Tambahnya, penyelidikan yang dibuat itu tidak terlepas daripada cabarannya yang tersendiri.

Ujarnya, cabaran utama adalah dalam mencari bahan asas yang dapat dicerna dengan sempurna oleh anak-anak ikan.

“Seperti yang kita ketahui, anak ikan mempunyai perut yang primitif dan ringkas setelah ia menetas.

“Antara cabaran lain yang dihadapi adalah untuk menghasilkan makanan ikan bersaiz mikron.

“Ini memandangkan, saiz bagi bukaan mulut anak-anak ikan adalah amat kecil dan halus,” jelas Dr. Muhammad Fadhil lagi.

Katanya, apa yang lebih penting dalam perkembangan itu, FS Feed dibangunkan oleh pihaknya bagi mengurangkan kebergantungan kepada makanan import ternakan ikan dan udang seperti artemia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI